Kumpulan nobat berusia 400 tahun warnai istiadat pertabalan
6 April 2012
KUALA LUMPUR - Kumpulan Nobat Diraja Kedah, kumpulan nobat tertua di
negara ini yang ditubuhkan 400 tahun lalu, akan memainkan peranan
penting sekali lagi dalam istiadat pertabalan Tuanku Abdul
Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 11 April
ini.
Kali terakhir kumpulan ini mewarnai istiadat pertabalan Yang
di-Pertuan Agong ialah pada 25 April 2002 semasa Raja Perlis Tuanku Syed
Sirajuddin Syed Putra Jamalullail ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan
Agong ke-12 di Balairong Seri, Istana Negara yang lama.
Bagi Ketua Nobat Diraja Kedah, Mohd Nazri Omar, 50, pertabalan
Yang di-Pertuan Agong kali ini lebih bermakna buatnya bukan sahaja
kerana Sultan Kedah melakar sejarah sebagai satu-satunya Raja Melayu
yang ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua, tetapi juga
buat pertama kalinya anak
beliau, Mohd Syazwan Mohd Nazri, 22, akan turut bersamanya membuat persembahan.
Mohd Syazwan, anggota termuda dalam kumpulan itu adalah pemain serunai,
yang merupakan satu daripada enam peralatan kumpulan Nobat Diraja
Kedah. Peralatan yang lain adalah nahara (dua buah gendang kecil),
gendang ibu dan gendang anak berukuran sederhana, nafiri (trumpet perak
berukuran 83.8
sentimeter panjang) dan sebuah gong.
Mohd Nazri, yang mewarisi jawatan Ketua Nobat sejak lima tahun
lepas daripada seorang saudaranya, berkata kumpulan Nobat Diraja Kedah
yang ada sekarang ini terdiri ahli keluarga anggota asal kumpulan yang
ditubuhkan 400 tahun lalu.
Katanya nobat hanya boleh dipersembahkan oleh ahli keluarga asal pemain
enam jenis alat muzik yang digelar orang Nobat dan diwariskan secara
turun temurun kepada ahli keluarga masing-masing.
"Orang biasa ataupun orang luar ditegah sama sekali menyentuh
alat-alat nobat ini, apa lagi memainkannya. Saya sendiri mewarisi
pekerjaan ini daripada ayah saya, dan kini anak saya turut terlibat
dalam kumpulan ini," katanya.
Mohd Nazri yakin warisan muzik kebesaran Diraja Kedah itu, walaupun
hanya sebilangan orang yang memainkannya, tidak akan luput ditelan
zaman.
"Pihak istana iaitu dari Jabatan Alat Muzik Kebesaran Diraja
sangat mengambil berat serta sering memantau perkembangan kumpulan nobat
Kedah ini kerana ianya merupakan lambang kebesaran raja-raja negeri
Kedah," katanya.
Bagi Mohd Syazwan pula, minatnya terhadap nobat bermula apabila
sering dibawa bapanya setiap kali membuat persembahan, selain mengikuti
bapanya berlatih di Balai Nobat yang terletak di Masjid Zahir, Alor
Setar.
"Dari situ minat itu timbul dan ayah juga sentiasa menurunkan ilmu
dan kemahirannya dalam bermain serunai dan sehingga kini saya sudah
mahir memainkannya," katanya.
Pemain alat muzik gendang ibu, Ismail Abdullah, 55, menyifatkan
muzik nobat Kedah memberikan semangat luar biasa setiap kali dimainkan.
Ismail, yang mewarisi kemahiran bermain alat itu daripada datuknya,
melahirkan rasa teruja kerana turut terlibat dalam upacara pertabalan
Yang di-Pertuan Agong ke-14 kali ini setelah kali terakhir bermain nobat
pada Yang di-Pertuan Agong ke-12, Tuanku Syed Sirajuddin Putra
Jamalullail.
Pada istiadat pertabalan kali ini, kumpulan nobat akan memainkan
lagu "Belayar" bagi mengiringi keberangkatan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam
Shah ke Balairong Seri untuk istiadat pertabalan serta berangkat
pulang.
Mereka akan memainkan lagi "Palu" bagi mengiringi Alat-alat Kebesaran
Diraja memasuki ke Balairong Seri dan lagu "Perang" semasa Tuanku Abdul
Halim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong. Anggota kumpulan itu
akan memakai Baju Melayu hitam bersampin dan bertengkolok serta "Baju
Sikap".
Mohd Nazri akan membawa tepak sireh dan juga "Tongkat Cokmar Diraja"
iaitu tongkat rotan panjang berbalut baldu. Empat belas anggota kumpulan
itu yang berasal dari beberapa kampung di Kedah seperti Alor Gandak,
Tajar, Hutan Kampung, Kota Sarang Semut dan Kuala Nerang telah berada di
Kuala Lumpur sejak Selasa lepas untuk menjalani latihan di Istana
Negara.
Selain bermain nobat, kebanyakan mereka adalah petani.
Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) Datuk
Wan Shamsudin Mohd Yusof berkata nobat di negeri itu diperkenalkan oleh
Sultan Muhammad Jiwa II setelah baginda menyaksikan satu persembahan di
India ketika baginda berada di sana untuk menuntut ilmu agama.
Sultan Kedah ke-19 itu dipercayai satu-satunya Sultan yang belayar ke
luar negara untuk belajar agama. Baginda merupakan putera sulung telah
belayar ke Palembang dan berguru dengan ulama dari Yaman.
Selepas itu baginda dan ulama itu belayar ke India untuk mengajar
agama dan dikatakan di sanalah baginda melihat persembahan nobat.
Menurut Wan Shamsuddin, ada pendapat berkata perkataan nobat yang
berasal daripada bahasa Parsi iaitu nau-bat bermaksud alat muzik atau
pancaragam istana, sembilan lagu atau sembilan jenis bunyian.
Nobat merupakan khazanah budaya yang sangat berharga, justeru
peralatannya disimpan di tempat khas dikenali Balai Nobat yang dijaga
serta dikawal. Ia terletak di tengah bandar raya Alor Setar.
"Ketika mula dibina dulu Balai Nobat diperbuat daripada kayu dan
beratap zink sehinggalah pemerintahan Sultan Abdul Hamid yang dikenali
sebagai 'bapa pembangunan negeri' pada 1912, ia diganti dengan batu.
"Pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid, nobat dimainkan setiap
hari setiap kali masuk waktu solat, kemudian pada zaman Sultan Badlishah
ia hanya dimainkan waktu tertentu seperti pertabalan, kemangkatan dan
perkahwinan diraja, dan ini diamalkan sehingga pemerintahan Sultan Abdul
Halim hari ini," katanya.
Menurut Wan Shamsudin, nobat juga pernah dimainkan untuk
menyambut keberangkatan Raja Siam, Raja Chulalongkorn ke negeri ini
sekitar 1890-an. - Bernama